Wednesday, 22 May 2013

Kerajaan Kelantan Wajar Ambil Semula Tanah Nik Aziz

Lebih kurang tiga minggu lalu, rakyat Kelantan telah dikejutkan dengan pendedahan mengenai 14 lot tanah bernilai lebih RM4 juta yang dimiliki oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tika itu adalah Menteri Besar Kelantan.

Keluasan gabungan 14 lot tanah itu ialah 4.4 ekar (1.76 hektar) dan terletak di Jajahan Kota Bharu yang mana sekiranya status tanah itu dikomersialkan nilaiannya boleh mencecah harga RM10 juta.

Selain Nik Aziz, isterinya iaitu Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak turut memiliki 13 lot tanah juga di sekitar Jajahan Kota Bharu yang bernilai jutaan ringgit termasuk dua lot daripadanya yang terletak di Pulau Melaka.

Nik Aziz yang terkejut dengan pendedahan tersebut segera tampil menafikan dakwaan yang mana menurutnya tanah atas namanya itu sebenarnya adalah milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan beliau hanyalah pemegang amanah selaku MB Kelantan.

Bagaimana pun sehingga hari ini Nik Aziz atau wakilnya gagal menjelaskan status 13 lot tanah atas nama isterinya. Tiada jawapan mengenai pemilikan tanah atas nama isterinya itu, seolah-olah sengaja di diamkan untuk mengelakkan kontroversi.

Saturday, 18 May 2013

Sembilan Adun Perak angkat sumpah Exco

Raja Dr Nazrin Shah
 
 Sembilan Adun dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak yang baru bagi penggal kedua di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Adun Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan Adun Kamunting, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid kekal sebagai exco.

Enam lagi muka baru, Adun Behrang, Datuk Rusnah Kassim; Adun Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan; Adun Belanja, Mohd Nizar Zakaria; Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Adun Batu Kurau, Dr Muhammad Amin Zakaria dan Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Majlis angkat sumpah jawatan exco disempurnakan di hadapan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Istana Iskandariah, di sini, hari ini.

Monday, 13 May 2013

Dominasi DAP Bakal Menjahanamkan PAS

Tiga bulan lalu di Banggol Peradong, Terengganu Presiden PAS Abdul Hadi Awang pernah menegaskan bahawasanya PAS akan mengambil tindakan keluar dari PR seandainya kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang hanya merugikan orang Melayu Islam.

Kenyataan itu dinyatakannya semasa berucap dalam program PAS Ganti UMNO di hadapan penyokong PAS dalam usahanya meyakinkan khalayak bahawa PAS masih dominan dalam PR serta mempunyai kemampuan untuk mengambil alih peranan UMNO sebagai suara rasmi orang Melayu Islam.

Besar angan-angannya tinggi melayang tak mencecah bumi. Tapi itulah perwatakan PAS sejak dulu hingga kini yang tidak pernah mengukur baju di badan sendiri.

Sehingga kini kenyataan gah Presiden PAS itu masih tergiang-giang di telinga ahli dan penyokong mereka, lebih-lebih lagi setelah keputusan dalam PRU-13 baru-baru ini menunjukkan bukannya PAS yang mendominasi PR sebaliknya DAP yang semakin menguatkan dominasinya.

Dengan kedudukan PAS tika ini yang hanya memiliki 21 kerusi Parlimen sementara DAP dan PKR masing-masing menguasai 38 dan 30 kerusi, ia jelas menunjukkan PAS hanyalah parti kelas ketiga dalam PR yang hanya mampu menjadi pak sanggup untuk DAP dan PKR.

Dalam keadaan demikian, jangan kata nak PAS ganti UMNO, hatta nak mengatasi DAP pun tak termampu dengan kudratnya yang sekelumit itu.

Friday, 3 May 2013

PAS Setuju Batalkan Hudud.

Sepanjang tempoh berkempen ini, PAS bersungguh-sungguh sekali memperlihatkan yang mereka tidak akan tunduk kepada DAP.  Justeru, isu hudud dimainkan kembali dengan lebih keras dan lebih tegas.   Para Ulama PAS seperti Dato’ Haron Din dan Dato’ Harun Taib berkali-kali muncul membuat kenyataan bahawa PAS akan tetap melaksanakan hudud walau apapun terjadi.  Kenyataan ini benar-benar membuat DAP panas telinga dan turut membuat kenyataan bahawa PR tidak pernah bersetuju dengan hudud dan DAP akan memastikan ia tidak akan dilaksanakan.  Kemuncaknya, Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez menyeru ahli-ahli DAP agar tidak memberi sokongan kepada PAS.

Maka bergolaklah PAS dan semakin ramailah yang memberi tekanan agar meninggalkan PR. 

Namun, tidak mungkin PAS akan mensia-siakan segala pengorbanan mereka menjadi anjing suruhan DAP selama ini, hanya untuk menarik brek di saat akhir.   Maka, semalam, Harun Taib memujuk ahli PAS agar tetap memberi undi pada PR dan perihal hudud akan diselesaikan kemudian iaitu selepas Pilihanraya atau selepas menang. 

Hari ini nampaknya segala kemelut antara PAS-DAP mengenai hudud telah selesai apabila Norman Fernandez tampil membuat satu lagi kenyataan rasmi bahawa beliau menarik balik seruan agar tidak mengundi PAS.   Sinar Harian hari ini melaporkan alasan beliau membuat U-turn dalam masa yang singkat ialah kerana menurutnya, kepimpinan tertinggi PAS telah bersetuju untuk tidak melaksanakan hudud sekiranya PR menang pilihanraya. 

Pelik sekali apabila media pro-pembangkang enggan menggembar-gemburkan alasan Norman Fernandez ini.  Kita ingin tahu apakah reaksi ahli-ahli PAS apabila mendapat tahu yang pemimpin mereka telah secara senyap-senyap memujuk Norman Fernandez dengan berjanji tidak akan melaksanakan hudud jika PR menang.

Wednesday, 1 May 2013

DAP Lebih Utama Di Kaca Mata Pas....

"Perbezaan di antara PAS dan DAP hanya setakat lima peratus sedangkan kami bersetuju 95% untuk menegakkan kebebasan, keadilan, kebenaran, integriti dan demokrasi untuk semua," demikian kenyataan bersama yang dibacakan oleh Abdul Hadi Awang dan Lim Guan Eng.

Kenyataan bersama PAS dan DAP itu matlamat utamanya ialah untuk meredakan kemarahan ahli dan penyokong masing-masing berikutan percanggahan terbuka mengenai isu hudud selepas ia ditimbulkan kembali oleh Timbalan Musyidul Am PAS, Dr Haron Din baru-baru ini.

Haron Din dalam kenyataannya itu menegaskan PAS akan tetap melaksanakan hudud seandainya PR menang PRU-13 meskipun bakal mendapat tentangan dari DAP. Ia disambut baik oleh pemimpin dan penyokong PAS termasuk mendapat dukungan penuh dariMursyidulAm PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimana pun, ura-ura yang disuarakan oleh PAS itu mendapat tentangan DAP dan agak kurang menyenangkan penyokongnya.

Berikutan itu, Lim Kit Siang dan Karpal Singh tampil mempersoalkan kejujuran PAS selaku rakan dalam PR memandangkan sebelum ini sudah wujud persetujuan bersama untuk hanya fokus mengalahkan BN sahaja.

Berbalik kepada kenyataan bersama DAP dan PAS, Hadi selaku Presiden PAS menyifatkan percanggahan pandangan dan dasar antara kedua-dua parti itu hanyalah satu perbezaan kecil yang dianggarkannya sekitar 5% sahaja.

Maksudnya, bagi PAS soal perlaksanaan hudud yang menjadi titik pergeseran antara PAS dan DAP hanyalah perkara remeh temeh berbanding persetujuan perjuangan mereka yang mencakupi 95% terutama sekali melibatkan Manifesto PR.

Demikianlah nilai hudud di kaca mata PAS tika ini sedangkan bab yang 5 peratus itulah yang sering digembar-gemburkan selama ini termasuklah untuk meraih undi orang Melayu Islam dan diguna pakai bagi mempersoalkan keislaman orangMelayu Islam dalam UMNO.

Tapi bila ia melibatkan DAP, terus sahaja yang 5% itu dipandang remeh seolah-olah tiada apa yang patut diperdebatkan kerana kononnya banyak perkara lain yang jauh lebih utama dan penting.

Sementara di pihak Kerajaan pusat yang diterajui UMNO dan BN, soal samada ia 5% atau tidak, kecil atau besar, tatkala PAS sibuk mempertikaikan KeIslaman orang UMNO, diam tak diam UMNO telah berjaya mengislamisasikan perundangan negara yang mana sehingga kini 90% sudah menepati kehendak Islam.

Monday, 29 April 2013

PAS Tak Boleh Di Percayai - DAP

Angin tiada ribut pun tidak, tiba-tiba sahaja Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez tampil mengingatkan orang bukan Islam supaya tidak memperjudikan nasib dengan mengundi PAS sambil menegaskan parti berlabel Islam itu tidak layak mendapat undinya.

Menurut Norman, "orang bukan Islam mesti sedar bahawa PAS akan melaksanakan apa yang digariskan sekiranya mendapat kuasa. Persoalannya adalah samada orang bukan Islam bersedia mengambil risiko dengan PAS?"

Dari kenyataannya itu jelas menggambarkan wujudnya keraguan mendalam di kalangan pemimpin DAP terhadap PAS.

Kebimbangan yang disuarakan pemimpin DAP Johor itu dipercayai berkait rapat dengan ura-ura Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din yang menegaskan PAS akan tetap melaksanakan hudud sekiranya PR memenangi PRU-13.

Walau pun hakikatnya apa yang diperkatakan PAS itu hanyalah retorik politik menjelang pilihan raya, namun bagi DAP ia tetap dianggap satu ancaman kepada pengaruhnya di kalangan orang bukan Islam.

Ia tidak mengejutkan kerana PAS dan DAP sedari dulu lagi memang tidak pernah serasi disebabkan masing-masing agak berbeza dasar dan arah haluan perjuangannya, ibarat air dan minyak yang tidak mungkin bercampur dan sebati hingga kiamat.

Dari sudut lain, DAP mempunyai sebab untuk meragui kejujuran PAS memandangkan parti berlabel Islam itu sebelum ini tidak pernah tetap pendiriannya dan acap kali bila PAS merasakan dirinya lebih kuat, bila-bila masa sahaja mereka sanggup mengkhianati rakan sepakatan.

Namun perkembangan terbaru ini tentunya bakal menambah lagi suhu kehangatan PRU-13, di masa yang sama senario ini secara langsung menonjolkan betapa rapuhnya kerjasama antara DAP, PKR dan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sunday, 28 April 2013

Wang Besar! DAP Songlap Wang Negeri .........

Red Bean Army iaitu sekumpulan ‘tentera siber’ yang ditaja oleh DAP difahamkan telah wujud sejak 4-6 tahun lepas.   Kekuatan mereka dianggarkan berada dalam jumlah 2000 hingga 3000 dan didarabkan dengan 10 hingga 20 jumlah capaian ke internet (Facebook, twitter, email, komen, dll) iaitu sekitar 60,000.   Kekuatan ini akan secara semulajadi digandakan sekiranya rakyat yang terpedaya turut ‘menyambung’ kerja mereka melalui media sosial. 

Pejabat Operasi utama Red Bean Army ialah di Bangunan Komtar, Pulau Pinang dan satu lagi di Hotel Concorde Kuala Lumpur.   Bayaran bagi setiap seorang dari mereka secara puratanya ialah RM3000-RM8000. 

Tugas mereka saban hari secara sepenuh masa ialah:

·         menyerang laman web pro-kerajaan,

·         menyerang laman-laman sosial aktivis yang pro-kerajaan,

·         menyebarkan bahan untuk memburukkan kerajaan,

·         mematahkan komen-komen pro-kerajaan di media alternatif,

·         menghalang penjelasan kerajaan dari sampai kepada rakyat melalui internet,

·         mengganggu apa saja program yang dilihat mampu memberi kredit kepada kerajaan,

·         menyebarkan maklumat yang memberi kredit kepada DAP

Modus Operandi mereka ialah mencipta fitnah atau fiksyen yang separa benar, memanipulasi maklumat, menghentam dan mencaci kerajaan dan menyebarkannya seluas yang mungkin dan secepat mungkin.

Objektif mereka pula ialah untuk membangkitkan rasa benci yang meluap-luap serta perasaan tidak percaya langsung kepada kerajaan.  

Justeru, tidak hairan jika satu isu kecil, contohnya kejadian di KFC di mana pelanggan Cina dikasari oleh pekerja Melayu kerana berang dimaki hamun, telah dijadikan isu rasis dan tersebar di internet dalam masa 24 jam lalu dipetik oleh portal pro-pembangkang seperti Malaysiakini yang kemudiannya menerima beribu-ribu komen pro-pembangkang dalam sekelip mata. 

Friday, 26 April 2013

Anwar Berang Disebabkan Pas Menipu....

Asal sahaja masuk musim pilihan raya, isu hudud tidak pernah sunyi dari dipalu gendangnya oleh PAS kerana merasakan isu itu penting dalam memastikan kelangsungan pengaruh PAS dikalangan orang Melayu Islam.

Soal praktikal dan asas perlaksanaan biasanya jarang disentuh, selalunya PAS hanya akan gah membicarakannya dari segi teori sahaja sekadar memainkan sentimen keagamaan untuk meraih sokongan pengundi.

Itu juga nawaitunya apabila Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din membangkitkan semula isu hudud tanpa menyedari dalam PRU-13 ini PAS hanya bertanding di 73 kerusi sahaja berbanding keseluruhan 222 kawasan parlimen.

Dengan 73 kerusi Parlimen yang ditandingi PAS dan hanya 12 kawasan sahaja yang berpeluang dimenangi PAS, apa yang mampu dilakukan oleh PAS terutama sekali untuk meminda Perlembagaan Negara bagi merintis perlaksanaan hudud?

Begitu pun, walau pun kita tahu hakikatnya PAS memainkan semula isu hudud tujuannya untuk meraih undi, namun dari aspek lain ia memperlihatkan sikap sebenar PAS yang tidak boleh dipercayai kerana pendiriannya yang sering berubah-ubah.

Sebelum ini, semua maklum PR pernah mengadakan mesyuarat khas membincangkan isu hudud di mana masing-masing pimpinan tertinggi DAP, PKR dan PAS bersetuju soal perlaksanaan hudud tidak berbangkit selagi tidak mendapat persetujuan bersama.

Wednesday, 24 April 2013

Kenapa Ustazah Mee Segera Tidak di Calonkan Oleh PAS......?

Bila baca berita sebab-sebab kenapa ustazah mee segera ini tidak dicalonkan ...memang benarlah apa yang dikhabarkan....

Dia mendapat jolokan ustazah setelah dia memasuki Pas itu pun setelah putus hubungan dengan seorang lelaki muda darinya , mungkin dia sudah tidak mampu lagi hendak menyara lelaki muda tersebut...

Siapakah Ustazah mee segera itu bacalah di SINI

Tuesday, 23 April 2013

Ngeh Koo Ham Kena Tengking Dengan Nelayan Semasa Berkempen

Pantai Remis: Calon DAP bagi Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, malu besar apabila ditengking seorang nelayan warga emas ketika berkempen di sebuah kedai kopi di Pantai Remis Lama, di sini petang semalam.

Lebih memalukan, Pengerusi DAP negeri itu dimarahi di depan kira-kira 10 pelanggan lain yang sedang minum di kedai kopi berkenaan.

Nelayan terbabit, Lim Pek Liang, 60, bukan saja bertindak memalukan Ngeh di depan pelanggan, malah enggan berjabat tangan dengan penyandang kerusi Parlimen itu.

Dia yang ditemui semalam berkata, Ngeh bersama calon DAP Pantai Remis, Wong May Ing, mengadakan sesi bertemu pengundi di kedai kopi itu kira-kira jam 4 petang sebelum menuju ke arahnya.

“Sebaik tiba di meja saya, dia (Ngeh) menghulurkan tangan untuk berjabat tangan, namun saya menepis tangannya.

“Ada sebab kenapa saya menolak tangan dan memarahinya kerana sejak menyandang kerusi Parlimen, saya tidak pernah lihat dia turun padang, apatah lagi mengambil tahu masalah rakyat di sini,” katanya.

Katanya, dia mengakui menyimpan dendam terhadap Ngeh kerana tidak membantunya mendapatkan lesen baru menangkap ikan.