Thursday, 3 January 2013

Fatwa Seleweng Hadi Kini Makan Diri

Alam semesta ini penuh dengan elemen metafizikal atau sesuatu yang tidak mampu dilihat oleh pancaindera mata.

Satu aspek pergerakan alam yang dicipta Tuhan ialah apa yang dikenali sebagai ’cause and effect’ atau sebab dan akibat.

Setiap kehidupan manusia yang dianugerahkan akal tidak boleh lari dari prinsip sejagat ini.

Umpamanya jika seseorang itu melakukan dosa, samada kecil atau besar, prinsip sebab dan akibat ini akan bergerak di mana lambat laun individu yang terbabit akan melihat kesannya.

Begitu juga dengan halnya dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang mengeluarkan satu buku kecil dipanggil ‘Amanat Haji Hadi pada tahun 1981, iaitu hampir 31 tahun lalu.

Antara lain buku bersaiz poket ini menyelar dan mengecam prinsip perjuangan UMNO dan perlakuan anggota UMNO.

Amanat yang dibukukan adalah ringkasan daripada beberapa siri ceramah berhubung akidah dan iman yang disampaikan oleh Abdul Hadi di Masjid Rusila, Marang, Terengganu.


Pada ketika itu Abdul Hadi baru berusia sekitar 34 tahun dan menyandang jawatan Naib Presiden Pas.

Beliau ketika itu dilihat sebagai bintang baru Pas yang sedang meningkat dan  membawa semangat berkobar-kobar menyemarakkan api perjuangan dalam sanubari ahli-ahli parti.

Isu yang menjadi senjata paling ampuh untuk terus mendaki tangga kuasa di dalam Pas tidak lain tidak bukan ialah dengan mengeksploitasi isu musuh ketat Pas iaitu UMNO.

Antara bahagian buku itu yang paling kontroversi ialah serangan Abdul Hadi terhadap keislaman UMNO dan akidah Islam yang dipegang oleh ahli-ahli UMNO.

Abdul Hadi menuduh UMNO adalah sebuah parti asabiyah yang hanya mementingkan bangsa Melayu di dalam perjuangannya dan Pas satu-satunya parti Islam yang tulen.

Natijah daripada rumusan beliau yang menyifatkan UMNO telah menyimpang daripada Islam, Abdul Hadi membuat beberapa kesimpulan yang sungguh merbahaya kepada perpaduan umat Melayu dan Islam di negara ini.

Dengan berbekalkan segulung ijazah sarjana dari Universiti Madinah, Arab Saudi yang terkenal dengan fahaman wahabiyahnya, beliau antara lain mendakwa jika mana-mana ahli Pas mati dalam perjuangannya melawan UMNO, kematiannya adalah mati syahid dan syurga adalah balasan tertinggi bagi pengorbanan itu.

Banyak lagi yang diharamkan oleh Abdul Hadi berkaitan UMNO termasuk tidak sah bersolat di belakang imam yang menjadi ahli UMNO, tidak sah pernikahan yang dilangsungkan oleh kadhi ahli UMNO, sembelihan orang UMNO haram dimakan, makanan orang UMNO tidak bersih dan banyak lagi fatwa-fatwa mengarut pemimpin Pas muda ini.

Berlaku perpecahan amat dahsyat dalam masyarakat Melayu dan Islam selepas ‘Amanat Haji Hadi’ disebar luarkan termasuk dikalangan pelajar-pelajar di universiti tempatan dan luar negara.

Sebahagian pelajar-pelajar Melayu yang dihantar ke luar negara di atas tajaan dan biasiswa kerajaan bertukar kepada golongan fanatik yang menjadi pengikut setia Abdul Hadi.

Di dalam negara berlaku solat dua imam, surau berasingan untuk jemaah UMNO dan Pas, malah kematian orang UMNO tidak mahu disolatkan atau dikebumikan oleh ahli Pas.

Kemuncak kesan daripada fatwa seleweng yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dilihat dalam insiden Memali pada 19 Nov 1985 yang berlaku di Kampung Memali, Mukim Siong, Baling, Kedah.
Aktivis Pas, Ibrahim Libya bersama sekumpulan termasuk wanita, warga emas dan kanak-kanak mengangkat senjata untuk melawan pihak keselamatan yang telah mengepung rumah tempat persembunyian mereka.

Misi utama pihak polis ialah untuk menangkap Ibrahim di bawah Akta Keselamatana Dalam Negeri kerana dituduh mengancam keselamatan negara serta melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki pihak berkuasa.

Pertembungan antara Ibrahim serta kumpulannya dan pihak polis berakhir dengan kematian 14 individu termasuk Ibrahim sendiri serta kecederaan pada anggota polis.

Kini isu kafir mengkafir kembali menghantui Abdul Hadi, seperti dosa yang dilakukan kembali mengganggu jiwa seseorang yang bersalah.

Sejak lebih tiga minggu, Presiden Pas itu didesak pelbagai pihak termasuk bekas ahli Pas supaya memberi penjelasan kepada umat Islam serta menarik balik fatwa beliau itu, namun Abdul Hadi terus membisu seperti patung.

Samada beliau sekarang sudah sedar penyelewengan yang dilakukan ke atas akidah umat Islam tetapi tidak berani tampil ke depan membuat pengakuan atau Abdul Hadi ditekan supaya terus dengan pendiriannya.

Nampaknya Abdul Hadi tidak berani melawan cakap Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat yang mahu beliau terus berpegang kuat kepada amanatnya.

Jika ini berlaku bermakna Abdul Hadi meletakkan kepentingan politik dan ketakutan kepada manusia jauh lebih tinggi daripada musibah yang berlaku kepada umat Islam apatah lagi hukuman Tuhan yang menantinya.

2 comments:

  1. Assalamualaikum saudaraku,

    Laman blog anda telah dilinkan bersama-sama blog Pena Minang. Jazakallah Khair

    Admin Pena Minang
    RPM

    ReplyDelete