Thursday, 17 January 2013

Ngeh Perlu Beri Bukti Kukuh Dakwa JPJ Penyebab Kemalangan

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham perlu memberikan bukti kukuh berhubung dakwaannya terhadap pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai kemalangan membabitkan kenderaan JPJ Seri Manjung di Sitiawan, Perak Jumaat lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata perbuatan Ngeh itu tidak bertanggungjawab kerana melemparkan tuduhan yang belum disahkan ke atas pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas.

Ngeh dengan sendirinya perlu memberi keterangan kepada polis Perak dan mengemukakan bukti kukuh yang dilemparkan kepada pegawai JPJ yang didakwa merentasi pembahagi jalan sehingga mengakibatkan kemalangan itu, kata Kong dalam kenyataan di sini Khamis.

Pada 11 Jan lepas, Ngeh yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Sitiawan didakwa mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitternya iaitu: "(kenderaan) JPJ sengaja melintasi pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori menyebabkan kemalangan besar. Rakyat bertanya, jika JPJ tidak mematuhi undang-undang, mengapa kita patut (patuhi undang-undang).

Semalam Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata polis tidak menolak kemungkinan memanggil Ngeh memberi keterangan berhubung kenyataan dalam laman twitternya itu bagi membantu dan menambah baik siasatan polis.

Kong berkata sekiranya dakwaan itu tidak benar, Ngeh perlu memohon maaf kepada JPJ.

"Hasutan meminta rakyat tidak perlu mematuhi undang-undang jika pihak berkuasa tidak mematuhi undang-undang adalah tidak adil. Adakah beliau menyarankan setiap orang menyalahi undang-undang dan peraturan?," katanya.

Beliau berkara hasutan seperti itu tidak profesional dan perlu dihentikan untuk mengelakkan rasa ketidakpuasan hati di kalangan rakyat, sekali gus boleh menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

"Kita mahu memastikan Malaysia dalam keadaan aman dan harmoni serta tidak dirosakkan oleh tuduhan beremosi dan tidak berfakta dari pihak tidak bertanggungjawab," kata Kong.
-- BERNAMA

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete