Monday, 7 January 2013

Pas Kini Kena ‘Kifarah’ Dosa Mengkafirkan UMNO

Penganalisa politik, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat menyifatkan percanggahan pendirian dan perbuatan kepimpinan Pas dalam melakukan perkara yang pernah mereka fatwakan sebagai haram, sehingga sanggup mengkafirkan kepimpinan dan ahli UMNO satu ketika dulu merupakan satu kifarah terhadap parti tersebut .

Jelasnya, hari ini dengan jelas bahawa Pas sendiri telah melakukan satu demi satu perbuatan yang pernah mereka fatwakan sebagai haram satu ketika dulu.

“Saya yakin, rakyat sudah sedia maklum, melalui amanat Haji Hadi kepimpinan Pas mendakwa  bahawa UMNO kafir kerana mengekal sistem undang-undang penjajah. Namun, baru-baru ini, Pas bersama kepimpinan Pakatan Pembangkang melalui Buku Jingga bersetuju pula untuk mengekalkan undang-undang sedia ada yang mereka katakan undang-undang penjajah sehingga sanggup melabelkan UMNO sebagai kafir.

“Selain itu, UMNO juga pernah dikafirkan oleh kepimpinan Pas kerana mengadakan kerjasama dengan parti-parti politik bukan Islam seperti MCA dan MIC tetapi hari ini, mereka juga telah melakukan perkara yang sama, malah lebih teruk apabila bersekongkol dengan DAP yang secara terang-terang menentang sebarang perlaksanaan undang-undang dan syariat Islam,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambahnya lagi, apabila dikritik, Pas memberikan alasan bahawa kerjasama mereka dengan parti politik bukan Islam seperti DAP itu adalah sebahagian daripada tahaluf siyasi.

“Jika begitu bermakna UMNO telah melakukan tahaluf siyasi lebih awal dari Pas lagi. Bahkan tahaluf siyasi yang dilakukan oleh UMNO hari ini lebih baik berbanding Pas di dalam Pakatan Pembangkang dan berjaya mengekal syiar Islam serta membangunkan ekonomi dan pembangunan negara.

“Kepimpinan Pas juga pernah mengkafirkan UMNO kerana mendakwa UMNO mengekalkan undang-undang penjajah dan mengadakan kerjasama dengan parti bukan Islam, tetapi hari ini apa yang dilakukan oleh Pas  amat bercanggah dengan pendirian dan pegangan mereka sebelum ini,” ujarnya.

Jika dilihat daripada sudut pendekatan Pas hari ini, beliau menegaskan bahawa tidak syak lagi bahawa parti tersebut mengamalkan kaedah pendekatan teori Machiavelli di mana prinsipnya teori tersebut adalah matlamat menghalalkan cara.

“Memang jelas bahawa Pas hanyalah memperalatkan agama dan menipu rakyat demi untuk meraih sokongan untuk menawa Putrajaya. Apa yang Pas fatwakan sebagai haram sebelum ini, hari ini mereka sendiri yang lakukan perbuatan ‘haram’ tersebut. Bila UMNO buat mereka kata kafir, tetapi bila mereka sendiri lakukan tidak mengapa pula.

“Justeru itu, saya menyeru agar rakyat di negara ini, khususnya umat Islam agar melihat apa yang dilakukan oleh Pas ini dengan mata dan hati yang terbuka. Jika dilihat dengan pemikiran yang terbuka, kita akan nampak bahawa Pas hanyalah mempergunakan agama untuk semata-mata untuk kepentingan politik mereka,” akhiri beliau. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment