Friday, 2 May 2014

Beranikah PAS Bentang Hudud di semua negeri PR?

Setelah bertahun-tahun hudud dijadikan mainan politik oleh PAS, parti itu masih terus mencuba untuk meyakinkan semua rakyat Malaysia yang ia benar-benar serius untuk melaksanakan hudud.

Kali ini, PAS mengambil satu langkah lebih sedikit ke hadapan dan membuat persediaan untuk membentangkan undang-undang hudud di parlimen dalam masa terdekat. Cadangan PAS ialah untuk melaksanakannya di Kelantan seawal tahun hadapan. Dengan langkah ini, ramai yang percaya yang PAS benar-benar serius mengenai hudud.

Saranan UMNO agar Jawatankuasa Teknikal Hudud diwujudkan menggambarkan betapa isu hudud turut diberi perhatian serius oleh UMNO. Oleh itu, ramai melihat isu hudud mampu menyatupadukan UMNO-PAS dan sekali gus mengembalikan kekuatan politik Melayu.

Walaubagaimanapun, impian tersebut dilihat sebagai terlalu tinggi dan sukar kerana hudud yang dicadangkan PAS adalah bersifat terhad iaitu setakat di Kelantan. Sedangkan PAS berhujah bahawa hudud adalah undang-undang yang lengkap dan adil serta sesuai pada semua keadaan dan zaman. Sesiapa yang menolak hudud, khususnya umat Islam, dihukum olen PAS sebagai menolak hukum Allah SWT yang sempurna.


Justeru, seharusnya PAS tidak ragu-ragu untuk membawa isu hudud ke peringkat kebangsaan, iaitu untuk digunapakai di semua negeri, terutama di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kelantan adalah negeri majoriti Melayu-Islam bukan alasan yang boleh diterima kerana PAS sendiri berhujah bahawa hudud yang mereka bentangkan adalah bersifat sejagat, selaras dengan hudud Islam.

Lagipun, PAS juga yang sering menuduh hanya UMNO yang menolak hudud, bukan PKR atau DAP. Biarpun DAP berkali-kali menafikan yang parti itu menyokong hudud, tetapi PAS juga yang berkali-kali menyatakan keyakinan yang DAP akan menerima hudud.

Atas keyakinan itulah, maka PAS wajib melangkah lebih jauh melangkaui Kelantan dalam isu hudud. PAS wajib membuktikan yang parti itu serius ingin melaksanakan Islam dan undang-undang Allah SWT secara menyeluruh tanpa takut-takut atau ragu-ragu.

Kita menjangkakan pembentangan hudud PAS di parlimen nanti adalah merangkumi seluruh negara, atau sekurang-kurangnya negeri-negeri yang diperintah PR. Tindakan ini bukan sekadar untuk membuktikan pendirian PAS, tetapi juga pendirian PR.

PR perlu meyakinkan penyokong mereka bahawa pakatan itu membawa aspirasi yang sama. Selama ini PR telah dituduh sebagai parti yang mempunyai tiga kepala dengan mimpi yang berbeza.

Hudud memberi PR peluang untuk menafikan semua tuduhan itu. PR boleh tunjukkan pada rakyat yang pakatan itu bukanlah pakatan yang rapuh tetapi cukup padu untuk memerintah sebuah negara. Buktikan yang PR tidak akan menggunapakai undang-undang yang cacamarba seperti tuduhan UMNO, di mana satu negeri membawa sistem perundangan Islam, beberapa negeri lain berpegang kepada pemerintahan demokrasi liberal dan beberapa negeri yang lain pula membawa pemerintahan autokratik.

Kesimpulannya, PR perlu memperlihatkan satu pegangan yang jelas mengenai hudud sebelum ia dibentangkan di Parlimen oleh PAS. Ini kerana, PAS adalah salah satu ‘entiti’ dalam PR. Apa jua keputusan PAS, harus dilihat sebagai keputusan PR.

1 comment:

  1. Fahami persoalan dengan lebih baik. PAS membuat cadangan pelaksanaan hudud melalui undang-undang persendirian untuk negeri Kelantan kerana mereka telah pun meluluskan enakmen hudud pada 1993. Negeri lain yang telah meluluskan enakmen hudud ialah Terengganu. Adalah tidak praktikal untuk melaksanakan hudud di negeri yang belum meluluskan undang-undang yang serupa. Jangan keliru dan jangan cuba mengelirukan.

    ReplyDelete